Tuesday, 22 August 2017

Dua penyokong bola sepak Myanmar cedera dibelasah oleh sekumpulan lelaki selepas menonton perlawanan bola sepak


SHAH ALAM - Dua penyokong bola sepak Myanmar cedera dibelasah oleh sekumpulan lelaki selepas menonton perlawanan bola sepak peringkat kumpulan antara pasukan Malaysia dan Myanmar sempena Sukan Sea 2017, di Stadium Shah ALam, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya telah menerima maklumat kejadian kira-kira jam 11.50 malam.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, kedua-dua mangsa berumur 29 dan 34 tahun telah mengalami kecederaan pada muka dan bahagian badan akibat ditumbuk dan di tendang oleh suspek.


“Mangsa merupakan kumpulan kecil yang telah terkeluar dari kumpulan utama penyokong bola sepak Myanmar.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya telah di hantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, salah seorang mangsa telah menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala seorang lagi mangsa masih dirawat di hospital.

Beliau berkata, kini siasatan serta operasi untuk mengesan dan menangkap saspek terlibat sedang giat dijalankan dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada polis untuk siasatan.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini,” katanya.

Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Dalam perlawanan bola sepak di Stadium Shah Alam itu, Malaysia melakar kemenangan dengan jaringan 3-1 ke atas Myanmar.



No comments:

POST PALING POPOULAR