
KUALA LUMPUR – “Sehingga sekarang penyesalan
menghantui saya, kenapa saya tidak tukar pakaian lelaki, solat jenazah dan
membantu jenazah arwah ibu diturunkan ke liang lahad.
“Saya seorang anak lelaki tetapi saya tidak
membantu arwah ibu di hujung hayatnya, sehingga sekarang saya menyesal hanya
disebabkan ego dan ghairah mahu menjadi pondan,” kata Jefferi Mohd Nor, 52.
Dia yang dulunya dikenali sebagai Kak Qis, seorang
pondan cukup terkenal apabila melakukan pembedahan plastik dan menyuntik
silikon di bahagian payudara, hidung, mata, lesung pipit, tulang pipi dan bibir
demi mengejar kehidupan masyhur sebagai seorang wanita.
Bagaimanapun di hujung usianya, dia memlilih jalan
taubat dan kembali kepada fitrah sebagai seorang lelaki, tahun lalu.
Dia kini berulang-alik ke Thailand untuk membuang
silikon yang diletakkan di beberapa bahagian badannya.
Jefferi yang dulunya seorang guru berkata, arwah
ibunya meninggal dunia pada September 2009 akibat gastrik pecah.
“Arwah ibu adalah kawan baik saya, apa-apa saya
lakukan dia sokong kecuali ketika membuat keputusan mahu menjadi wanita.
“Walaupun saya sudah menjadi ‘anak perempuan’
kepada ibu, dia tetap tidak membuang saya dan berdepan pelbagai tohmahan orang
ramai, begitu besar jasa arwah ibu terhadap saya,” katanya.
Menurutnya, ketika ibunya meninggal dunia dia
tetap memilih pakaian wanita dengan berjubah, tetapi tidak memakai tudung.
“Saya hanya melihat orang ramai solat jenazah dan
menurunkan arwah ke liang lahad sedangkan itu adalah tanggungjawab saya sebagai
anak lelaki, kesalan ini menghantui hidup saya sehingga sekarang, jika boleh
diputar kembali waktu akan saya gunakan sebaiknya membantu arwah hingga ke
hujung hayatnya.
“Arwah ibu tidak suka saya menjadi pondan, tetapi
dia tidak pernah membuang saya sebagai seorang anak, dia berdepan caci maki
tohmahan orang ramai dan tetap mempertahankan saya walaupun sudah menconteng
arang ke wajahnya,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.
Katanya, dulunya dia pernah berhasrat untuk
berhijrah ke England bagi melangsungkan perkahwinan sesama jenis dengan teman
lelakinya yang juga Mat Salih.
“Namun, takdir Allah SWT, sebelum saya sempat
berangkat ibu ditakdirkan jatuh sakit dan memerlukan penjagaan rapi.
“Saya kemudian fokus untuk menjaga ibu dan
meninggalkan teman lelaki saya serta melupakan hasrat berkahwin di sana,
mungkin Allah masih sayangkan saya dengan menghalang perjalanan itu, jika tidak
pasti saya sudah murtad di sana, nauzubillah,” katanya.
Menceritakan bagaimana dia boleh terjebak dalam
dunia pondan, Jefferi berkata, nalurinya untuk menjadi pondan timbul selepas
memasuki maktab perguruan.
“Selepas bergelar guru, saya ke sekolah memakai
pakaian lelaki, sebelah malam bertukar wanita pula dan seronok dengan kehidupan
begitu.
“Saya kemudian berhenti menjadi guru dan fokus
kepada perniagaan, ketika itu saya memiliki segalanya seperti rumah, kereta
mewah, kecantikan dan ada tiga anak angkat bersama saya. Kehidupan saya cukup
lengkap, tetapi jiwa saya tetap kosong,” katanya.
Menurutnya, kuasa Allah tiada siapa yang tahu,
Allah datangkan seorang lelaki bukan Islam kononnya untuk menilik nasibnya
tahun lalu.
“Saya berkeras tidak mahu, namun lelaki itu tetap
mahu menilik dengan hanya melihat raut wajah saya, apa yang diperkatakan lelaki
ini sangat menjerut tangkai hati saya.
“Dia kata saya ada semua tetapi tidak bahagia
kerana saya tidak solat lima waktu, memang betul sangkaan dia, kerana sudah
berpuluh tahun saya tidak sujud pada Allah,” katanya.
Katanya, bertitik tolak daripada situ, dia mula
solat tetapi memakai pakaian wanita.
“Saya mula solat tetapi tetap ego dengan memakai
pakaian wanita, bukan memakai telekung, tetapi berbaju kurung atau jubah tanpa
menutup kepala.
“Setiap kali orang datang ke premis perniagaan
saya, mereka terkejut melihat saya solat dan wujud perasaan kasihan terhadap
saya,” katanya.
Menurutnya, sehinggalah dia mula terfikir sampai
bila dia harus menjadi wanita, walaupun solat dia tetap tidak tenang hati.
“Sehinggalah saya membuat keputusan untuk kembali
kepada fitrah lelaki, saya mula buang implan payudara, hidung dan sebagainya.
“Saya jual semua barangan kemas dan membuang semua
pakaian wanita. Saya mula memakai pakaian lelaki dan Alhamdulillah perubahan
ini baru setahun. Apa yang saya paling gembira, saya juga dapat solat Jumaat
yang ditinggalkan hampir 50 tahun,” katanya.
Dia yang juga pengasas produk kesihatan dan
kecantikan SB Superbeauty berkata, dia kini tidak lagi berahi melihat lelaki
dan tiada lagi pandangan dua tiga kali terhadap kaum sejenisnya.
Jefferi turut menitipkan pesanan buat pondan di
luar sana supaya bertaubat segera dan mendapatkan rawatan dengan mengambil
suntikan hormon lelaki di klinik.
“Kini saya mendapatkan suntikan itu di sebuah
klinik di Kluang, Johor. Hanya RM30 satu suntikan yang perlu diambil sebulan
sekali.
“Berubahlah wahai semua pondan, kehidupan ini
hanya sementara, jangan jadi seperti saya, sudah di penghujung usia baru
ketukan untuk bertaubat,” katanya. – myMetro Online
No comments:
Post a Comment