JAKARTA - INDONESIA. kira 50
anggota pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Laskar Merah Putih hari ini
mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Kompleks Kedutaan Besar Malaysia
di sini bagi meluahkan kekecewaan berhubung bendera Indonesia dicetak terbalik
dalam buku cenderamata Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Mereka berkumpul kira-kira dua jam bermula 2 petang di
hadapan kompleks kedutaan itu di Kuningan dan memasang kain rentang yang
mendesak Malaysia sekali lagi memohon maaf kepada rakyat Indonesia berhubung
insiden itu.
Mereka juga membawa poster dan pemidang yang tertera
dakwaan kononnya Malaysia banyak melakukan kesalahan dan mendesak kerajaan
Indonesia memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Ketua Umum Laskar Merah Putih Adek Ervil Manurung dalam
ucapannya menyifatkan cetakan bendera terbalik itu sebagai sesuatu yang
melampau dan memalukan Indonesia.
"Kami menilai Malaysia sudah keterlaluan, ini tidak
bisa dibiarkan. Ini mempermalukan bangsa kita dan kerajaan Malaysia harus
memohon maaf kepada rakyat Indonesia,"
katanya.
Selain itu, pertubuhan berkenaan juga membangkitkan isu
kononnya kerajaan Malaysia melanggar undang-undang berhubung pembelian sebidang
tanah adat di Kemang di sini.
Adek dan dua lagi wakil pertubuhan itu kemudian dibenarkan
memasuki kompleks kedutaan untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada
Timbalan Duta Malaysia di Indonesia Zamshari Shaharan.
Zamshari ketika ditemui berkata beliau menerima memorandum
itu dan turut memaklumkan kepada mereka bahawa kerajaan Malaysia menerusi
Kementerian Luar telah menyatakan permohonan maaf secara rasmi kepada kerajaan
dan rakyat Indonesia.
Mengenai dakwaan tanah itu, beliau berkata pihak kedutaan
menghormati undang-undang Indonesia dan kes itu telah dibawa ke mahkamah.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin telah menemui
Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi di Kuala Lumpur bagi
menyatakan kekesalan dan memohon maaf atas kesilapan tersalah cetak bendera
negara ini.
Presiden Joko Widodo dalam kenyataanya semalam meminta
rakyat Indonesia supaya tidak memperbesarkan isu berkenaan, walaupun beliau
kesal dengan kejadian berkenaan. - Bernama

No comments:
Post a Comment