JOHOR
BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengarahkan
supaya operasi dobi khas untuk pelanggan beragama Islam di Muar ditamatkan
segera atau berdepan tindakan ditutup oleh baginda sendiri.
“Beta
tidak boleh terima perkara mengarut seperti ini. Ini adalah negeri Johor,
negeri milik Bangsa Johor dan milik semua rakyat tidak kira bangsa dan agama. Negeri ini adalah progresif, moden dan
bersederhana.
“Ini
bukan negara Taliban dan sebagai Ketua Agama Islam di Johor, beta merasakan tindakan
ini sama sekali tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis,” titah baginda.
Tuanku
Sultan Johor turut mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abdul
Mutalip Abd Rahim, majlis agama dan majlis daerah untuk menyiasat perkara itu.
Baginda
juga telah bertitah dengan Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin dan Exco
Agama, Abdul Mutalip Abd Rahim berkenaan hal ini.
“Beta
mahu pemilik dobi itu memohon maaf kepada beta dan seluruh rakyat Johor. Dia
telah membuat orang Johor malu dan marah kerana ini bukanlah apa yang Johor
mahukan.
“Pemilik
itu juga telah melanggar visi Johor untuk bersatu, hidup harmoni, bersederhana
dan bertoleransi. Kalau dia mahu meneruskan juga perkhidmatan dobi Muslim itu,
dia boleh keluar dari Johor. Beta cadangkan dia buka kedai di
Afghanistan.
Pemikirannya sempit dan tidak seiring dengan apa yang diperjuangkan di negeri
ini.”
Sultan
Ibrahim bertitah, baginda dan keluarganya terkejut dengan tindakan pemilik dobi
itu. Jelas baginda lagi, jika perbuatan itu tidak dihentikan, ia akan
membuka
ruang untuk lebih banyak perbuatan yang berfikiran sempit dilakukan atas nama Islam.
Gambar
dobi mesra Muslim itu tular minggu lalu apabila dilaporkan hanya pelanggan
Islam sahaja dibenarkan menggunakan mesin pencuci pakaian di premis itu.
Titah
Sultan Ibrahim, pada mulanya pemilik dobi itu meletakkan papan tanda untuk
Muslim sahaja dan apabila isu ini menjadi kontroversi, dia menukar papan tanda
kepada “Mesra Muslim”. “Tak usah berlagak pandai, ia tetap sama. Pemilik dobi
itu perlu dibersihkan otaknya.
“Beta
mahu hentikan ekstremism. Perlakuan ekstremis tiada tempat di negeri beta. Kita
ada maruah sebagai Bangsa Johor dan beta mahu tahu di mana pemilik dobi itu
belajar agama?
Islam
mengajar untuk bertoleransi dan menghormati kepercayaan orang lain,” titah
baginda di Istana Bukit Serene pada Selasa.
Titah
Sultan Ibrahim lagi, baginda tidak boleh berdiam diri mengenai isu ini. Jika
tidak mungkin selepas ini akan wujud pula teksi khusus untuk pelanggan Islam
dan bukan Islam. – The Star/mStar Online
No comments:
Post a Comment