WASHINGTON DC: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan
Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan di Amerika Syarikat (AS)
dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi
negara itu, umum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya,
KWSP saja dijangka melabur antara AS$3 bilion (RM12.57 bilion) hingga AS$4
bilion (RM16.76 bilion) di negara berkenaan.
"Kami
datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami
mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS," kata Najib semasa pertemuan
delegasi Malaysia dengan Presiden AS, Donald Trump, di sini, hari ini.
Najib
yang juga Menteri Kewangan berkata, delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan
khusus.
Pertama,
katanya, Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli
Malaysia Airlines Bhd (MAB).
"Kami
komited membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan kebarangkalian
besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10
dalam masa terdekat.
"Dalam
masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga berkenaan akan
bernilai melebihi AS$10 bilion (RM41.9 bilion)," katanya.
Pesawat
737 MAX 10 bakal menjadi pesawat satu lorong paling menguntungkan bagi syarikat
penerbangan itu, menawarkan kos tempat duduk paling rendah, manakala 787
Dreamliner adalah pesawat enjin berkembar dengan kerangka sederhana bagi
perjalanan jarak jauh.
Perdana
Menteri kemudian menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman antara
Malaysia Airlines dan Boeing Aircraft Corporation bagi pembelian pesawat serta
membuka kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih di Sepang bernilai
AS$3.9 bilion (RM16.34 bilion).
Perbincangan
dengan Trump itu adalah kemuncak lawatan kerja Najib ke AS dari 11-13 September
atas jemputan daripada Presiden AS ke-45 itu yang memegang jawatan pada 20
Januari tahun ini.
Najib
berkata, kerajaan juga akan cuba memujuk syarikat penerbangan tambang rendah,
AirAsia Bhd untuk membeli enjin General Electric buatan AS.
"Kedua,
kami memiliki KWSP, yang juga dana pencen utama di Malaysia. Mereka memiliki modal
yang besar untuk dieksport, mereka melabur hampir US$7 bilion dari segi ekuiti
di AS dan berhasrat melabur tambahan AS$3 bilion hingga AS$4 bilion bagi
menyokong pembangunan semula prasarana anda," katanya.
Perdana
Menteri juga berkata Khazanah Nasional, yang memiliki pejabat di Silicon
Valley, California dan sudah melabur kira-kira AS$400 juta dalam syarikat
teknologi tinggi, juga berhasrat meningkatkan pelaburannya. - BERNAMA
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment