Muhammad Faid mula merokok ketika berusia 17 tahun dan menghisap
lima batang rokok setiap hari bersama rakan-rakannya.
Dia
baharu sahaja berusia 24 tahun dan salah seorang pesakit muda yang disahkan
menghidap kanser mulut. Dia kini menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Kuala
Lumpur (HKL).
Walaupun
punca kanser itu tidak diketahui, doktor berkata kebanyakan pesakit kanser
mulut terdiri daripada perokok.
Muhammad
Faid yang juga pelajar tahun tiga jurusan pendidikan di sebuah universiti
berkata pada awalnya dia mengalami masalah ulser di lidah kirinya.
Namun dia tidak mengendahkannya kerana ia tidak begitu
menyakitkan.
Ibunya
yang hanya mahu dikenali sebagai Anita, 52, berkata luka yang muncul awal tahun
lalu tidak hilang begitu sahaja.
Pada
November, hasil ujian biopsi mendapati ia adalah kanser. Anita berkata, antara
November dan Mei lalu, Muhammad Faid mengalami pendarahan sebanyak empat kali
dan terdapat rongga dalam lidahnya.
Kanser itu masih di Tahap I dan II pada Februari tetapi pada Mei
ia sudah di Tahap III. Susulan itu, doktor terpaksa memotong sebahagian lidah
Muhammad Faid pada 17 Mei lalu.
Doktor
telah membina semula lidahnya dengan lebihan kulit pahanya dan Muhammad Faid
kini boleh bercakap sedikit.
Dia
masih tidak boleh makan tetapi hanya menerima makanan menerusi tiub manakala
lubang telah ditebuk di trakea bagi membolehkannya bernafas.
Seorang
lagi pesakit yang enggan namanya didedahkan berkata dia mula-mula menemui satu
benjolan kecil di pipinya pada Mac lalu.
“Ia
seperti jerawat kecil tetapi pada Mei ia menjadi semakin besar di pipi kanan.
Ia membesar amat cepat,” kata suri rumah berusia 60 tahun dari Johor yang
disahkan menghidap kanser mulut Tahap IV.
Wanita
itu berkata dia tidak menyedari perbuatan mengunyah sirih dan pinang berupaya
meningkatkan risiko kanser.
“Saya
mengunyah sirih dan pinang setiap hari sejak berusia 13 tahun. Ibu saya yang
berusia 83 tahun turut mengunyah makanan itu sepanjang hidupnya tetapi dia
sihat.
“Saya
menasihati ibu dan kakak sulung saya untuk berhenti mengunyah makanan itu.
Tiada siapa patut menerima penyakit seperti ini,” katanya.
Share jika bermanfaat.

No comments:
Post a Comment