TANGKAK - Sebuah kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di
Kilometer (KM) 151.4 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini,
tumbang disyaki angkara perbuatan khianat.
Ketua Polis Daerah Tangkak
Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata kejadian itu disedari pada pukul 9.35
pagi tadi oleh pekerja syarikat penyelenggara peralatan terbabit di tempat
kejadian.
Sebuah kereta peronda lebuh raya yang membuat rondaan dari Ayer Keroh ke Johor
Bahru bergegas ke tempat kejadian setelah menerima maklumat berhubung kejadian
tersebut.
Siasatan awal mendapati tiang kamera
AES terbabit telah tumbang dan beberapa komponen di dalam alat terbabit
dipercayai dicuri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata sehingga kini, polis
masih mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan khianat
tersebut dan pihaknya percaya kegiatan itu mungkin dilakukan pada waktu malam.
Mohad Idris berkata kes itu disiasat
mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dan orang ramai
yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu pihak polis.
Pada Jun lalu, kamera AES yang dipasang
di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak itu antara
perangkap had laju terkini yang dipasang pihak berkuasa.
Sebuah lagi kamera AES yang berada
berdekatan lokasi tersebut adalah di KM 146.8 menghala selatan dan difahamkan
kamera berkenaan tidak terlibat dalam perbuatan khianat itu serta masih
beroperasi seperti biasa. - Bernama
No comments:
Post a Comment